PENA HIDAYAH OLEH: UNIT PEMBANGUNAN MODUL DAN LATIHAN
Sistem ekonomi dan kewangan global yang semakin kusut serta dilanda krisis pada hari ini adalah bertitik tolak daripada sebilangan pihak yang telah memegang tampuk kekuasaan ekonomi dunia serta kewangan yang sangat rapuh dan angkuh tanpa menepati prinsip-prinsip yang halal dan jelas tidak berlandaskan Syari’ah sama sekali.
Kepincangan sistem ekonomi dunia yang merebak ke seluruh negara boleh dilihat daripada ucapan Presiden Rusia Dmitry Medvedev pada hari persidangan forum Pembangunan Rusia-Jerman pada 3 Oktober 2008 yang lalu. Beliau berpandangan dunia memerlukan sistem ekonomi yang lebih adil, berdasarkan kewangan yang lebih bersih, kedaulatan undang-undang tanpa memonopoli dan mengambil kira keperluan bersama.
Realiti ini turut diakui oleh Perdana Menteri, Vladimir Putin yang menyelar keadaan ekonomi Amerika Syarikat ( AS ) dahulu dan sekarang sebagai punca kepada masalah ekonomi global yang sedang berlaku pada masa ini. Namun begitu, kenyataan yang hampir sama juga dinyatakan oleh Gabenor Bank Thailand, Tarisa Watanagase mengenai krisis kewangan hari ini yang lebih padah dan sukar untuk diatasi, berbanding krisis yang berlaku ketika 11 tahun yang lalu. Perakuan di atas tadi telah memberi satu isyarat yang sangat jelas bahawa sistem yang digunapakai pada ketika ini sudah tidak berdaya saing menampung kegelisahan masyarakat dunia terhadap dasar monetari AS sehingga memerlukan pembaharuan. Tetapi persoalannya ialah apakah sistem baharu yang mampu mendepani sebarang risiko dan ketidaktentuan ekonomi dunia pada masa-masa akan datang?
Apakah zaman dominasi sistem ekonomi kapitalis sudah berakhir lantaran kegagalannya untuk memastikan kitaran ekonomi yang lebih adil dan seimbang tidak lagi boleh diharapkan? Pakar ekonomi berpandangan, krisis yang didakwa akibat daripada kesan subprima menjadikan sistem ekonomi yang baharu amat diperlukan bagi mengembalikan kestabilan ekonomi global. Pelbagai langkah telah diambil oleh AS dalam memulihkan ekonomi mereka tetapi pada masa yang sama sudah tentu keyakinan untuk terus menggunapakai sistem “ kapitalis Anglo Saxon “ bakal beralih arah kepada sebuah sistem ekonomi lain yang lebih saksama dan mampu berhadapan dengan sebarang risiko kemelesetan.
Justeru, ketika ini perbincangan mengenai kehebatan sistem ekonomi Islam sering menjadi perhatian pakar ekonomi dunia untuk mengatasi segala kemelut yang sedang timbul melanda persekitaran ekonomi global. Penjelasan dari sudut epistemologi, falsafah, konsep dan rupa bentuk sistem ini sememangnya sangat hebat dan berbeza sekali dengan sistem kapitalis sebelum ini. Sebagai contoh, seorang ulama’ kewangan Islam dari Jordan iaitu Profesor Muhammad Anas Al-Zarqa telah mendefinasikan sistem ekonomi Islam itu adalah salah satu ilmu sains yang mengkaji tentang hal ehwal kemasyarakatan, peranan institusi dan menetapkan dasar yang berpandukan hukum hakam Syariah. Secara khususnya, sistem ekonomi Islam berlaku di bawah tiga asas iaitu transaksi kewangan yang mengharamkan Riba, keadilan dalam pengagihan kekayaan negara dan perilaku akhlak murni dalam kegiatan ekonomi. Oleh sebab ekonomi merupakan satu bidang yang berkaitan dengan kehidupan manusia, maka topik perbincangan ini sama sekali tidak terpisah daripada peraturan Syariah Islam itu sendiri.
Kegawatan ekonomi yang kian merundum teruk dihadapi dunia Barat hari ini membuktikan sistem kewangan yang mengamalkan Riba secara meluas mempunyai banyak kelemahan dan ketidakseimbangan.
Sebaliknya, sistem kewangan Islam yang bebas daripada Riba dilihat semakin kukuh dan mampu bertahan sampai bila-bila dalam apa jua keadaan.
Fakta dan bukti berkenaan telah disokong ramai para pengkaji dan ahli pemikir yang mengakui kesan positif ekonomi dunia kini beralih kepada sistem kewangan Islam yang berdaya tahan dan tinggi nilainya serta mempunyai pelan dan dana jangka panjang seperti institusi Zakat, Baitulmal, Wakaf, Sedekah Jariah dan Hibah.
Ini sekaligus membuktikan sistem kewangan Islam secara asasnya tidak menerima kesan langsung daripada krisis atau kemelesetan ekonomi yang berlaku berdasarkan ciri-cirinya yang tersendiri seperti adil tanpa Riba, tidak membeban, menzalimi dan menindas pengguna serta berkongsi keuntungan dalam segenap aspek.
Maka konsep Muamalat seumpama ini menjadi petunjuk kepada semua institusi kewangan dan perbankan lainnya untuk mencontohi sistem kewangan dan perbankan Islam yang telah terbukti berjaya dan terjamin.
Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah ayat 275, yang bermaksud:-
“ Orang-orang yang memakan ( mengambil ) Riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan ( Syaitan ) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti Riba “. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli ( berniaga ) dan mengharamkan Riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan ( larangan ) dari Tuhannya lalu ia berhenti ( dari mengambil Riba ), maka apa yang telah diambilnya dahulu ( sebelum pengharaman itu ) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulanginya lagi ( perbuatan mengambil Riba itu ) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya “.
Oleh hal yang demikian, marilah kita bersama berusaha menjadikan ajaran Islam sebagai teras ekonomi negara melalui pendekatan ini; yang pertama, dengan meningkatkan kefahaman masyarakat berkaitan keistimewaan dan kehebatan sistem ekonomi Islam. Yang kedua, bersama-sama melemahkan produk kewangan Barat yang bertentangan dengan Syariat Islam, khususnya kegiatan ceti haram dan sebagainya. Maka yang ketiga pula, bersama-sama mendokong produk kewangan Islam yang telah dilaksanakan sekarang, di samping berusaha menyebar dan memartabatkan sistem ekonomi Islam disetiap pelusuk dunia sebagai amanah Allah S.W.T bermula hari ini juga.
kembali keatas
|