866,893
Petikan Khutbah Jumaat yang bertajuk PEMUDA PEMUDI HARAPAN BANGSA
Artikel ini dihantar pada 05-Jan-2007

Allah s.w.t berfirman di dalam Surah Al-Kahfi ayat 13 yang bermaksud :

 

Kami ceritakan kepadamu wahai Muhammad perihal Ashabul-Kahfi dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk”.

 

Muslimin dan Muslimat yang di rahmati Allah,

 

Setahun berlalu bererti bertambahlah bilangan kaum remaja muda mudi kita. Kaum belia adalah golongan yang terbesar jumlahnya di dalam masyarakat hari ini. Mereka adalah khazanah dan aset Agama, Keluarga, Masyarakat, Bangsa, dan Negara yang amat bermakna. Sekiranya baik mereka, maka baiklah Agama, Keluarga, Masyarakat, Bangsa, dan Negara. Jika rosak mereka, maka rosaklah Agama, Keluarga, Masyarakat, Bangsa, dan Negara. Apabila rosak golongan remaja maka buruklah padahnya.

 

Kita masih di awal tahun baru, marilah kita semua khususnya anak-anak muda dan remaja, sama-sama berusaha memperbaiki diri serta memperbaharui sikap dan azam dengan betul-betul bersedia untuk menambahkan ilmu dan pengalaman dalam mengejar peluang-peluang kehidupan yang semakin mencabar ini, semoga kita semua beroleh kejayaan dan kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat nanti.

 

Muslimin dan Muslimat yang di rahmati Allah,

 

Sebagai Muslim dan sebagai belia yang baik, kita sepatutnya tidak terlupa untuk mengimbas kembali, untuk mengenang kembali jasa-jasa dan sumbangan bakti orang lain terhadap kita, lebih-lebih lagi jasa dan khidmat bakti oleh kedua orang tua kita. Mereka adalah orang yang sanggup bersusah payah siang dan malam kerana memikul tugas dan tanggungjawab untuk membesarkan dan memberi pendidikan, sehingga kita dapat mengenali diri, iaitu bagaimana untuk menjadi orang yang taat dan patuh kepada perintah-perintah Allah dan gerun untuk melakukan sebarang larangan Allah. Semuanya itu atas tunjuk ajar mereka. Lantaran itu, kita selaku belia remaja sewajarnya membalas jasa-jasa yang telah diberi, terutama jasa-jasa yang dicurahkan oleh kedua-dua ibubapa kita yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia terlebih dahulu daripada kita, dengan memohon keampunan dan mendoakan kepada mereka agar berada dalam kesejahteraan, selamat di dunia dan dijauhkan daripada azab siksa di akhirat. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Apabila meninggal dunia seseorang manusia itu maka putuslah amalannya kecuali tiga perkara yang pahalanya tidak terputus iaitu : Sedekah jariah, ilmu yang diajarnya yang dapat dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa untuknya”.

 

Bagi melahirkan generasi belia yang mampu memiliki ketahanan diri untuk hidup di zaman yang penuh ujian ini, adalah sangat memerlukan kepada usaha-usaha memupuk ilmu dan bimbingan akhlaq mulia yang berterusan, bermula diperingkat rumah, keluarga, sampailah ke peringkat sekolah dan masyarakat seluruhnya.

 

Muslimin dan Muslimat yang di rahmati Allah,

 

Hari ini, ketahanan anak-anak muda dan belia kita masih dipersoalkan kerana sesetengahnya sudah lama tercemar apabila ramai dari kalangan mereka sering dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah, suka berlumba haram, menghabiskan masa bermain permainan computer di kafe siber , suka merosakkan harta awam, merayau-rayau sehingga larut malam, bergaul bebas dan yang terakhir  ini terpengaruh dengan kumpulan Black Metal iaitu kumpulan pemuja Syaitan. Itulah gambaran-gambaran budaya buruk yang masih menghantui sebahagian besar dari kalangan remaja-remaja kita hari ini.

 

Persoalannya, kemanakah perginya ibu bapa atau penjaga mereka? Adakah perbuatan berlumba haram sebegitu boleh dianggap sebagai suatu mainan biasa oleh ibu bapa? Bahayanya bukan sahaja terhadap remaja tersebut tetapi terhadap orang lain yang tidak berdosa juga. Sesungguhnya inilah penyakit yang dihidapi oleh remaja-remaja kita. Persoalan lain yang patut diambil ingatan oleh semua pihak iaitu adakah pelakuan buruk remaja sekarang menggambarkan sikap bapa atau penjaga itu sendiri yang dihinggapi suatu penyakit berbahaya iaitu “Penyakit Membiarkan Anak Remaja” sehingga ada sesetengah ibu bapa atau penjaga beranggapan tiada apa-apa berlaku bahkan bersetuju anak-anak mereka berkelakuan sedemikian semata-mata memberi peluang kepada mereka melepas geram di luar rumah sekalipun sikap itu boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

 

Penyakit remaja sebegini jika tidak di bendung sejak awal lagi akan merebak kepada orang lain termasuk kepada ibu bapa atau penjaga itu sendiri, bahkan pihak berwajib juga akan turut terseret dan tercemar, seterusnya orang akan menganggap bahawa perangai sesetengah ibu bapa hari ini dua kali lima dengan perangai liar anak mereka.

 

Muslimin dan Muslimat yang di rahmati Allah,

 

Bagi mengelakkan anak belia kita daripada tersasar jauh ke lembah kehancuran dan kemusnahan, marilah kita sama-sama memertabatkan diri dan keluarga khususnya para remaja kita yang dianggap sebagai aset negara dan penyambung warisan umat yang cemerlang. Sebenarnya, dibahu merekalah harapan Agama, Keluarga, Masyarakat, Bangsa, dan Negara. Diharapkan nanti dari kalangan merekalah akan lahir pemimpin-pemimpin dan pengikut-pengikut yang akan menentukan halatuju masyarakat dan Negara ke arah kehidupan yang lebih bahagia di dunia dan di akhirat, jika tidak, maka hancurlah dan musnahlah umat dan negara ini.

 

Remaja mestilah tahu tanggungjawab terhadap Allah, diri sendiri, keluarga, masyarakat dan Negara. Zaman remaja adalah satu zaman yang penuh pancaroba, sehingga Allah menjanjikan keselamatan dan kelepasan daripada huru hara kepanasan iaitu di payung di bawah teduhan Allah  di padang Mahsyar kelak, kepada pemuda-pemuda yang membesar di dalam keadaan istiqamah beribadat kepada Allah dan mampu bertahan didalam perjuangan melawan segala ujian dan rintangan.

 

Hari ini untuk mencari belia remaja yang benar-benar beriman dan berakhlaq mulia amat susah dan sukar, sepertimana susah dan sukarnya mencari air di musim kemarau di tanah yang kering gersang, terutama diakhir-akhir ini lahir usaha-usaha pihak musuh Islam yang ingin menyesatkan golongan muda dengan hiburan-hiburan yang melalaikan, pencemaran budaya dan amalan-amalan sesat seperti nyanyian lagu-lagu yang menentang wujudnya Allah, menentang agama serta menjadikan syaitan sebagai tuhan mereka. Budaya yang menyesatkan ini amat cepat merebak dan menjalar kesekolah-sekolah termasuk sekolah-sekolah agama.

 

Muslimin dan Muslimat yang di rahmati Allah,

 

Oleh itu, semua pihak wajib bertanggungjawab dan turut merasa terpanggil untuk membendung kemasukan unsur negatif daripa luar terutama filem-filem yang merosakkan remaja kita daripada terus merebak masuk ke tanahair umat islam. Pihak berwajib hendaklah membuat pemantauan dengan penguatkuasaan undang-undang yang sungguh-sungguh agar gejala buruk itu benar-benar dapat di kawal.

 

Ibu Bapa pula, jangan biarkan anak-anak remaja mereka bergaul bebas tanpa kawalan, sebaliknya hendaklah bertegas dalam perkara Halal dan Haram. Manakala anggota masyarakat hendaklah sentiasa bekerjasama, tolong menolong dalam perkara kebaikan dan mencegah perkara-perkara kemungkaran.



kembali keatas
   
Pra Perkahwinan | Persediaan Keibubapaan | Pra Keibubapaan | Bayi | Mumayyiz | Remaja | Dewasa | Alam Matang |
Usia Emas
| Khusnul Khatimah


Hakcipta terpelihara © 2002 – 2010 Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim
| Dasar Privasi | Dasar Keselamatan |
Penafian :
Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan / kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini
Sesuai dipapar menggunakan IE versi 7.0 & ke atas dan Mozilla Firefox versi 2.0 & ke atas dengan resolusi 1024 x 768